Datin voice clip audio Wisma Putra UAE Ministry of Foreign Affairs
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim . Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 18 suspek terdiri daripada lelaki dan wanita termasuk warga Indonesia ditahan kerana menculik seoang ahli perniagaan Palestin di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, lelaki itu berjaya diselamatkan menerusi beberapa serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurut beliau, mangsa, 31, diculik lebih kurang 11 malam ketika sedang berbual bersama seorang lagi rakan, juga warga Palestin di hadapan sebuah premis di lokasi kejadian.

“Tiba-tiba mangsa didatangi beberapa suspek yang tidak dikenali menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan menarik mangsa masuk lalu melarikannya.

“Rakan mangsa yang berada di lokasi bagaimanapun tidak terdaya berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rakannya kerana panik. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Dang Wangi sejurus selepas kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Sejurus menerima laporan tersebut, satu pasukan polis telah diatur gerak pihaknya bagi memburu penjenayah yang terlibat dalam penculikan itu.

Operasi berkenaan berjaya menahan seramai 13 lelaki terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing di Kuala Langat sekaligus berjaya menyelamatkan mangsa warga Palestin itu.

“Hasil tangkapan itu, polis kemudian memberkas lima lagi suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita di Ampang, Beranang dan Melaka,” ujarnya.

Kesemua 18 suspek ditahan itu berusia antara 21 hingga 42 tahun dan semakan lanjut mendapati tujuh daripada 18 individu ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati empat daripadanya positif dadah jenis syabu.

Mereka kini sedang disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.- MalaysiaGazette