DAP

DALAM wawancara bersama Roket baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan kesediaan partinya bertanding di kerusi-kerusi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu agak lain daripada yang lain kerana rasa-rasanya tidak pernah berlaku dalam sejarah DAP bertanding di mana-mana kerusi tradisi UMNO yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Ketika zaman DAP dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu, UMNO ditentang oleh calon-calon pembangkang dari Semangat 46 dan Pas. Semasa era Pakatan Rakyat pula, calon-calon dari Pas dan PKR diletakkan melawan UMNO.

Amalan yang sama diteruskan oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14. UMNO berdepan dengan calon-calon Melayu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bukan satu perkara yang asing bagi DAP menampilkan calon-calon Melayu pada PRU dan pilihan raya kecil (PRK).

Antara pemimpin-pemimpin Melayu DAP yang pernah dicalonkan ialah Dyana Sofia Mohd. Daud, Young Syefura Othman, Dr. Abdul Aziz Bari dan Sheikh Umar Bagharib Ali.

Namun, mereka semua bertanding di kerusi-kerusi Barisan Nasional (BN) yang diwakili MCA atau Gerakan. Teluk Intan, Ketari, Tebing Tinggi dan Paloh bukan kawasan UMNO.

Jadi, mengapa DAP membuat keputusan yang agak drastik itu sekali gus mengurangkan kuota kerusi majoriti Melayu yang sepatutnya ditandingi oleh sekutu-sekutunya dari PKR atau Amanah?

Adakah DAP sudah kurang yakin dengan kemampuan PKR dan Amanah untuk mengalahkan UMNO ekoran prestasi buruk kedua-dua parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka?

DAP kini mempunyai 11 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berbanding PKR dan Amanah yang masing-masing mempunyai seorang ADUN sahaja. Secara keseluruhan, 34 calon PKR dan Amanah tewas manakala DAP hanya tewas empat kerusi sahaja.

Keputusan PRN Melaka adalah lebih buruk bagi ketiga-tiga parti namun DAP masih tertinggi dari segi jumlah kerusi dimenangi atau dipertahankan iaitu empat kerusi DUN berbanding satu kerusi Amanah dan sifar kerusi PKR.

Anthony memberi alasan DAP tidak mahu membebankan tanggungjawab di atas bahu PKR dan Amanah di kawasan-kawasan yang amat sukar ditembusi PH khususnya di Selangor dan Johor.

Dalam wawancara yang sama, beliau mengakui DAP ditolak oleh pengundi Melayu ekoran label anti-Melayu dan anti-Islam yang dilekatkan terhadap partinya selama ini.

Daripada penjelasan Anthony itu, dapat disimpulkan bahawa persepsi terhadap DAP merupakan antara faktor yang mendorong pengundi Melayu menolak calon-calon PKR dan Amanah di Melaka dan Johor.

Cuma label tersebut kini bukan sekadar persepsi sahaja kerana ia telah dibuktikan semasa 22 bulan PH berkuasa dahulu.

Pemimpin-pemimpin DAP sendiri ‘tak tahu jaga mulut’ sehingga menyebabkan sensitiviti orang Melayu dan umat Islam terguris dengan kata-kata mereka.

Orang Melayu pasti tidak akan lupa dengan kontroversi ‘orang Melayu adalah pendatang’ yang dicetuskan oleh Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran pada Julai 2018.

Begitu juga dengan bantahan keras DAP terhadap usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah melalui rang undang-undang 355.

Luka dalam hati orang Melayu dan umat Islam masih berbekas dan amat sukar bagi mereka untuk menerima PH apatah lagi DAP.

Tidak mustahil DAP akan dimalukan seperti PKR dan Amanah di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast