KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang sedang meningkat naik, Feroz Baharudin menyifatkan dia semakin menjadi pemain yang matang apabila kerap diberi pendedahan melakukan latihan bersama pemain yang berkualiti tinggi di skuad utama JDT.
Jelas Feroz, melakukan latihan bersama dengan pemain-pemain yang berpengalaman seperti Shane Lowry, Shahrul Saad dan Aidil Zafuan memberikan banyak
ilmu tambahan dalam meningkatkan corak permainan.
Tambahnya, dia ada meletakkan sasaran tersendiri untuk menembusi skuad JDT pada satu hari nanti namun dalam masa sama gembira dengan perkembangan musim
ini apabila diberi banyak peluang bermain di Liga Premier bersama JDT II.
“Sudah tentu salah satu perkara yang saya gembira berada di sini adalah kerana dapat bermain dan melakukan latihan dengan mereka semua pemain yang berkualiti tinggi.
“Dari sesi latihan, saya boleh belajar dari pengalaman mereka dan apa perlu dibuat sebagai seorang pemain pertahanan tengah.
“Harapan saya pada masa depan boleh menembusi skuad utama JDT namun apa paling penting saya kena gigih belajar dan terus belajar untuk menjadi seorang
pertahanan yang baik,” katanya.
Berusia 22 tahun, Feroz tampil sebanyak 17 kali bersama JDT II musim ini yang menjadikan antara yang tertinggi melakukan penampilan bersama pasukan selain
penyerang, Daryl Sham.
Dalam masa sama, Feroz turut menjaringkan tiga gol bersama JDT II dengan kebanyakan gol berpunca daripada situasi bola mati sama ada sepakan penjuru atau sepakan percuma.
Bagi perjalanan musim 2022, Feroz berasa bangga kerana dapat memberikan kejuaraan trofi Liga Premier yang terakhir buat JDT II sambil mengakui pemain-pemain muda menjadi antara tunjang kekuatan pasukan.
“Pasukan ini menunjukkan persefahaman yang baik walaupun dari awal ada sedikit masalah terutama persefahaman apabila ada pemain dari JDT turun ke JDT II.
“Apabila pemain-pemain muda berjaya membentuk persefahaman yang baik dengan pemain senior, itu menjadi faktor kepada kebangkitan JDT II dalam saingan Liga Premier yang membawa kepada kejuaraan kami,” katanya. – MalaysiaGazette