Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas mengakui wujud perselisihan faham antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, isu yang dihadapi kedua-dua parti itu hanyalah masalah kecil.

“Tentang isu bersama Bersatu di Selangor itu adalah masalah kecil kerana kita sentiasa ada perbincangan. Apa-apa kita bincang dalam Pas dan Bersatu akan bawa ke Majlis Presiden PN.

“Di situ kita akan selesaikan semua apa yang kita tak jelas dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Media awal hari ini melaporkan hubungan Pas dan Bersatu di Selangor didakwa dingin apabila timbul rasa tidak puas hati berhubung pembahagian jawatan di peringkat bahagian.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa pergolakan tersebut berlaku apabila pemimpin Pas negeri difahamkan tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan ketua PN bahagian membabitkan 22 Parlimen bagi tiga parti dalam komponen itu.

Jelas Tuan Ibrahim, segala perbincangan di Selangor akan dibawa ke meja rundingan peringkat pusat.

“Untuk makluman, sebelum ini apa-apa bincang, akan bawa kepada PN, apa-apa Pas bincang, kita akan guna platform sedia ada,” katanya.

Laporan media berkenaan menyebut bahawa mengikut perjanjian awal pembahagian bagi jawatan ketua perhubungan PN bahagian adalah sembilan untuk Bersatu, sembilan untuk Pas dan empat untuk Gerakan yang dipersetujui oleh tiga parti dalam PN.

Bagaimanapun, Bersatu mendapat 10 jawatan, Pas lapan dan Gerakan empat yang dibuat tanpa persetujuan Pas. – MalaysiaGazette