Gambar hiasan

SEOUL – Korea Selatan dan tentera Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan peluru berpandu ke laut sebagai tindak balas kepada pelancaran peluru berpandu Korea Utara ke atas Jepun.

Peluru berpandu itu ditembak ke Laut Timur, juga dikenali sebagai Laut Jepun. Kawasan itu terletak antara Semenanjung Korea dan Jepun.

Pyongyang menguji peluru berpandu balistik pada hari Selasa, membedilnya ke arah Jepun buat kali pertama sejak 2017.

Korea Selatan dan AS masing-masing menembak sepasang peluru berpandu Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera Darat, menurut satu kenyataan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby berkata, pelancaran ituuntuk menunjukkan AS dan sekutu mereka mempunyai “keupayaan ketenteraan yang bersedia untuk bertindak balas terhadap provokasi oleh Korea Utara.

Dalam pada itu, dalam kenyataan berasingan daripada tentera memaklumkan sebuah peluru berpandu Korea Selatan gagal sejurus selepas dilancarkan dan terhempas, tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Keputusan Pyongyang untuk menghantar peluru berpandu ke atas Jepun pada hari Selasa dilihat sebagai sesuatu disengajakan untuk mendapat perhatian Tokyo dan Washington.

Namun, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida menyifatkan pelancaran itu sebagai “tingkah laku ganas”, manakala Presiden AS Joe Biden mengukuhkan komitmen Washington terhadap pertahanan Jepun semasa membuat panggilan telefon dengan Kishida.

Kemudian pada hari Selasa, jurucakap Rumah Putih John Kirby berkata, tindakan Pyongyang semalam “jelas menjejaskan kestabilan.”

Pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada hari Selasa adalah yang kelima dilakukan oleh Pyongyang dalam seminggu.

Tindakan ini telah menyumbang kepada ketegangan yang berterusan antara Korea Utara dan Jepun, yang berpunca daripada penjajahan Jepun di Korea dari 1910 hingga 1945 dan penculikan warga Jepun oleh Korea Utara pada masa lalu. – Agensi