Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan supaya pegawai-pegawai lantikan di kementerian itu mengemas atau mengosongkan bilik masing-masing.

Lantaran itu, Datuk Seri Hishammuddin  Husseinberkata, tidak timbul isu berkenaan berlaku di kementerian tersebut.

Bagaimanapun katanya, semua pihak berkenaan sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan kerana isu pindah melibatkan pegawai lantikan politik bukanlah sesuatu yang baharu.

“Kita sentiasa siap siaga dengan apa jua kemungkinan dan kita kena faham, nak siap barang, tak siap barang, kita dah lalui segala-galanya.

“Kita pernah kalah dalam pilihan raya umum yang dahulu…suka tak suka kita kena move on. Lima tahun selepas kalah kita sekarang menerajui kerajaan…jadi, isu-isu sama ada nak pindah barang ke tidak, saya rasa bukan satu perkara baharu bagi kita.

“Yang penting ialah jawatan yang kita pegang, yang penting janji kita kepada rakyat, yang penting rakyat boleh rasai apa yang dijanjikan..

“Sebagai Menteri Pertahanan apa yang saya janjikan kepada anggota, pada warga MINDEF, Insyaallah saya akan tunai hingga tidak diberikan tanggungjawab lagi dan suruh pindah, masa tu saya pindah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai laporan sebuah laman portal yang menyebut ada pegawai kementerian yang sudah menerima arahan supaya mengosongkan bilik, sekali gus memberi isyarat kemungkinan besar pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Menurut laporan itu, arahan tersebut dikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) petang semalam dan kesemua yang terlibat sudah mula mengosongkan bilik pagi ini.

Dalam pada itu Hishamuddin berkata, MINDEF serta kepimpinannya bersedia untuk menghadapi pilihan raya sekiranya Parlimen dibubarkan esok.

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersiap siaga jika pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh yang diramal berlaku penghujung tahun ini.

“Kalau kita kata nak pilihan raya selepas banjir, kalau tak banjir, orang marah kita juga. Jadi, dari segi persiapan saya akan pergi ke Pahang dalam masa terdekat ini…di situ saya akan umumkan persiapan kita kemungkinan ada banjir.

“Bagi kita di MINDEF kita akan teruskan sama ada pilihan raya atau tidak, saya percaya itu di luar kemampuan kita kalau sekiranya berlaku banjir,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast