Pelajar, Nurul Zarifah Athirah Rosalie @ Rosli bercakap ketika ditemubual pada hari Pendaftaran Pelajar Baharu semester pertama sesi 2022/2023 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

SERDANG –  Perasaan gembira dan teruja terpancar dalam kalangan pelajar baharu yang mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2022/2023, hari ini.

Salah seorang pelajar, Nurul Zarifah Athirah Rosalie @ Rosli berkata, dia amat bersyukur kerana menjadi salah seorang pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di UPM.

“UPM merupakan salah sebuah universiti terbaik di Malaysia yang menawarkan kursus yang saya inginkan iaitu doktor perubatan,” katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran pelajar baharu sesi 2022/2023.

Zafirah, 19,  merupakan salah seorang pelajar yang ditawarkan program  Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) akan menyambung pengajian dalam program bacelor Doktor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Katanya, beliau tidak mengetahui tentang Sulung dan hany diberitahu kos pembelajaran akan ditanggung sepanjang berada di universiti itu selain mendapat wang pendahuluan, elaun bulanan dan sebuah komputer riba secara percuma.

Pelajar, Dinesh Varma A/L Selvam bercakap ketika ditemubual pada hari Pendaftaran Pelajar Baharu semester pertama sesi 2022/2023 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

Selain itu, Dinesh Varma A/L Selvam, 21, mensasarkan menjadi pelajar cemerlang selain mencari pengalaman baharu.

Dia yang merupakan atlet olahraga akan mengikuti program bacelor Pendidikan Jasmani di Fakulti Pendidikan berkata: “Saya memilih UPM kerana UPM menawarkan waktu yang fleksibel kepada atlet daripada segi sukan dan belajar,”.

Pelajar, Nur Alya Razali bercakap ketika ditemubual pada hari Pendaftaran Pelajar Baharu semester pertama sesi 2022/2023 di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

Bagi Nur Alya Razali, 19, yang akan menyambung pengajian dalam program bacelor berasa gementar berikutan cuti yang agak panjang sebelum ini, iaitu empat bulan.

“Dalam pada masa yang sama, saya berasa teruja kerana dari sekolah menengah lagi saya sudah ada matlamat untuk masuk universiti,” ujarnya.

Ditanya mengapa memilih UPM sebagai pilihan melanjutkan pelajaran, dia berkata, kakaknya merupakan alumni UPM dan ada bercerita pengalaman belajar di universiti itu membuatkannya tertarik untuk ke sini.

Alya akan menyambung pengajian program bacelor Sains Bioteknologi di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

Untuk rekod, seramai 3,553 pelajar baharu program bacelor mendaftar di UPM bagi sesi akademik 2022/2023 pada hari ini dan esok. – MalaysiaGazette