Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada Taklimat Khas Kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng , Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran di Kementerian Sumber Manusia Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Sesi taklimat khas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Saravanan bersama beberapa pemimpin pembangkang DAP hari ini menyaksikan suasana tegang apabila mereka bertikam lidah dengan pendapat masing-masing.

Ia bermula apabila Saravanan diganggu oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham ketika menteri itu membentangkan carta proses permohonan pekerja migran

Saravanan memberitahu Khoo Ham agar tunggu sehingga beliau habis membuat pembentangan sebelum mencelah.

Ini kerana Khoo Kham sebelum itu menyampuk dengan menjelaskan bagaimana hendak menyelesaikan isu tersebut jika proses pertama sudah berdepan masalah.

Suasana mula panas apabila Saravanan meminta Khoo Ham agar bertenang namun pemimpin DAP itu terus meninggikan suara.

Beliau berkata, Saravanan adalah menteri yang gagal kerana tidak tahu apa yang berlaku di peringkat bawahan.

Perang mulut itu turut disertai seorang lagi pemimpin DAP, M. Kulasegara yang juga bekas Menteri Sumber Manusia.

Situasi panas itu terhenti apabila seorang peserta taklimat yang dipercayai wakil agensi pekerja menasihati pertengkaran itu tidak berpanjangan dengan memberi peluang kepada Saravanan untuk menyelesaikan pembentangannya dahulu.

Isu antara Saravanan dan beberapa pemimpin DAP bermula apabila Pengerusinya, Lim Guan Eng yang turut hadir pada taklimat khas itu mengkritik menteri berhubung kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu.

Saravanan kemudian mencabar Guan Eng supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP jika beliau tidak dapat menemui apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani isu kekurangan pekerja asing.

Saravanan berkata, beliau sedia meletak jawatan jika Ahli Parlimen Bagan itu dapat membuktikan beliau sebagai menteri bersalah dalam menangani isu tersebut.

Isu ini berlanjutan sejak 16 September lalu apabila Guan Eng menyahut cabaran itu dan meminta Saravanan menetapkan tarikh untuk beliau mengutarakan isu kritikal dan kelemahan lain yang telah melambatkan pengambilan pekerja asing.

Semalam, Saravanan dalam sidang media yang sama mendakwa kenyataan Khoo Ham berhubung pengambilan pekerja asing mempunyai agenda peribadi.

“Dia minta untuk syarikat dia bukan untuk rakyat. Saya boleh cetak semua dokumen apa yang dia minta daripada kami.

“Semua permintaan adalah peribadi. Tapi, kononnya dia buat drama minta untuk rakyat. Dia minta untuk syarikat dia, saya tak tahu dia minta untuk diri dia atau dia merupakan ejen,” katanya. – MalaysiaGazette