Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli seolah-olah meragui integriti badan kehakiman negara apabila menuduh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terburu-buru mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana mahu menyelamatkan diri daripada kes mahkamah.

Lantaran itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan tuduhan yang dilemparkan menunjukan Rafizi tidak bijak.

“Kenapa Rafizi nak tuduh macam itu sedangkan segala keputusan kehakiman ditentukan oleh hakim-hakim yang mengendalikan kes?

“Adakah Rafizi meragui kewibawaan dan integriti institusi kehakiman negara?

“Pada hal, ketika mahkamah mengekalkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib bulan lalu, bukan main lagi Rafizi puji keputusan mahkamah dan menjulang kedaulatan institusi kehakiman negara,” kata Nur Jazlan.

Ketua UMNO Bahagia Pulai itu berkata, Rafizi hanya mencari alasan untuk mengelak daripada Pilihan Raya Umum (PRU-15) dilaksanakan lebih awal.

Nur Jazlan turut mendakwa Rafizi sebagai lucu dan melalut apabila mendakwa sokongan terhadap UMNO menurun dari 27 peratus kepada 18 peratus.

Ini kerana dapatan yang dikemukakan oleh Rafizi adalah hasil kajian yang dilakukan olehnya sendiri.

“Memanglah kalau dah awak sendiri buat tinjauan untuk pihak UMNO, sah-sahlah awak akan keputusan tak akan menyebelahi UMNO.

“Takkanlah awak nak cakap UMNO lagi kuat dari PKR. Lucu betullah awak ni Rafizi!

“Lepas tu Rafizi buat lawak lagi. Dia cakap disebabkan sokongan orang Melayu kepada UMNO menurun sebab itulah UMNO nak percepatkan PRU-15. Apa punya perkiraan politik yang Rafizi fikir ni,” kata Nur Jazlan.

Tambahnya, jika UMNO tahu sokongan terhadap parti itu menurun sudah tentu UMNO tidak mendesak pilihan raya diadakan dengan segera.

Nur Jazlan berkata, UMNO minta PRU-15 dibuat segera kerana mahu mengembalikan mandat kepada rakyat.

Ini selepas negara dipimpin secara gagal oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sehingga kerajaan yang diwarisi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak stabil dan tidak kukuh.

“UMNO nak kembali bela nasib rakyat yang dikhianati oleh janji-janji manifesto hancing Kerajaan PH dulu.

“UMNO nak kembali membina kerajaan dan negara yang stabil selepas dirosakkan oleh PM gagal si Muhyiddin sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.-MalaysiaGazette