KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempat melambai ke arah petugas media dan pelancong asing sebaik sahaja berangkat meninggalkan Istana Negara, kira-kira jam 10.05 pagi ini.
MalaysiaGazette difahamkan, baginda akan melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang, kira-kira jam 10.30 pagi ini.
Terdahulu, Istana Negara menjadi tumpuan petugas media sejak awal pagi ini susulan desas-desus mengatakan Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen Penggal ke-14.
Perkembangan itu susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September lalu yang memutuskan agar PRU15 diadakan pada tahun ini.
Selain itu, majlis menghadap baginda merupakan rutin biasa Perdana Menteri setiap kali sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
MalaysiaGazette juga difahamkan Perdana Menteri dijangka menghadap YDPA di Istana Negara hari ini sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan ke Parlimen, esok. – MalaysiaGazette