Dr Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) 2.0 bukan sahaja diharapkan berlaku bahkan mesti menjadi realiti, tegas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, jika MN 2.0 tidak tercapai, rakyat sekali lagi akan menyaksikan berlaku pertembungan sengit antara Pas dan UMNO sebagaimana sebelum ini.

Oleh itu, kata beliau, pihak luar seperti Majlis Profesor Negara (MPN) dan golongan ilmuan perlu memainkan peranan membantu dengan memberi penjelasan kepada anak muda, orang dewasa dan golongan pertengahan mengenai MN ini.

“Tegur, ajak dan seru golongan ini agar mereka juga turut serta bersama kami mengharapkan MN menjadi kenyataan. MN 2.0 mesti jadi,” katanya dalam Wacana Kerjasama UMNO dan Pas: Apa Potensinya anjuran Majlis Profesor Negara hari ini.

Seorang lagi ahli panel ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya manakala moderator, Felo MPN, Dr. Muhammad Asri Mohd Ali.

Mengenai syarat yang dikenakan kepada Pas sekiranya ingin kembali semula, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas (MSUP) itu menjelaskan, memang wajar UMNO meletakkan syarat.

Katanya, sebab UMNO sudah terkena dengan Pas apabila parti terbesar Islam itu lari kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk duduk dalam Perikatan Nasional (PN).

“Sudah-sudah tinggalkan UMNO kerana tertarik kepada Bersatu maka wajar untuk UMNO buat syarat kalau Pas mahu kembali semula. Lagi ini, ini adalah syarat syarie dan punca berpecah sebab Pas lari kepada Bersatu.

“Tambahan pula, syarat UMNO itu tidak berat. Pas mesti kena terima syarat itu. Pas mesti tinggalkan Bersatu dan Pas kena berani,” katanya.

Mohd Khairuddin juga dimaklumkan MSUP akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat, iaitu mungkin esok atau Sabtu ini.

Beliau menegaskan, Majlis Syura Ulamak Pas perlu membuat keputusan iaitu balik kepada MN yang ditubuhkan dan dimeteraikan pada 14 September 2019 mengikut peraturan parti.

“Pas menyertai PN tidak ikut peraturan parti, sedangkan tubuh MN ikut peraturan parti iaitu dari Majlis Syura ke Jawatankuasa Pas Pusat (JPP), bawa ke dua kali muktamar, sebelum buat draf dan dipersetujui MSUP serta JPP untuk ditandatangani.

“Panjang prosesnya untuk tubuhkan MN. Saya boleh bercakap kerana saya di situ, saya Setiausaha Majlis Syura Pas, ahli, ahli jawatankuasa dan juga Teknikal Pas. Nak tubuhkan MN mengikut peraturan parti sepenuhnya.

“Hari ini, saya lihat pimpinan Pas berbelah bahagi. Satu pihak hendak balik kepada UMNO melalui MN manakala satu pihak lagi tidak mahu tinggal kekasih baru (Bersatu). Saya kata (mereka) kena tinggal (Bersatu),” katanya.

Beliau juga mendedahkan, Bersatu kini sedang berusaha ‘meminang’ Pakatan Harapan (PH) sedangkan dasar Pas yang menjadi teras dan ditegakkan oleh Majlis Syura Ulamak ialah tidak kepada PH.

Katanya, kalau Bersatu mahu bersama PH, silakan, itu hak mereka tetapi Pas boleh kembali semula kepada UMNO.

“Saya kata Pas mesti berpakat dengan UMNO dan hambatan syarat yang ditetapkan oleh UMNO bukan isu besar malah Pas kena terima syarat itu. Kedua, parti mesti segerakan kepada MN 2.0,” tegasnya.

Beliau juga sebolehnya mahu menghentikan pergaduhan berpanjangan yang tercetus antara ahli Pas dan UMNO di peringkat akar umbi.

Katanya, sepanjang menjadi pemimpin Pas dan membesar dalam parti itu, beliau akui di kampung memang wujud kafir mengkafir, solat dua imam, tidak hadir kenduri, tidak makan sembelihan dan bercerai berai kerana perbezaan parti.

“Saya berada di kampung yang mana hubungan Pas dan UMNO sangat tegang. Saya kena perakui perkara ini. Saya membesar dalam keadaan itu dan saya fikir hendak mengubah suasana ini.

“Alhamdulillah, akhirnya Allah bagi peluang saya jadi orang politik, jadi wakil rakyat dan saya usaha perkara itu (penyatuan ummah Pas dengan UMNO) dan akhirnya berjaya apabila pada 14 September 2019, MN telah menggabungkan dua parti ini.

“Inilah yang diharapkan oleh ahli Pas dan ahli UMNO sampai hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette