Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok harus memberi tumpuan kepada bidang pendidikan serta pembangunan ekonomi kumpulan B40 dan M40.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu penting lebih-lebih lagi selepas negara melalui fasa pemulihan Covid-19 tahun ini.

“Saya yakin percaya masa depan negara kita amat bergantung kepada modal insan yang kita lahirkan.

“Kita tahu kekangan-kekangan yang ada di sekolah khususnya di luar bandar, saya tidak bercakap pasal universiti kerana tidak banyak hanya 20 universiti di negara kita, tapi di sekolah rendah dan menengah.

“Ada ribuan sekolah di luar bandar yang harus dibantu kerana di sana ada mutiara, permata yang tengelam dalam lumpur gelap yang sangat mendukacitakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Skop MG yang dihoskan oleh Haslina AR Kamaruddin.

Program tersebut akan disiarkan secara langsung pada pukul 8 malam ini di Facebook Malaysia Gazette.

Temubual SkopMG bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah di Studio Malaysia Gazette (MG), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2022.

Haim berkata, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasakan melalui peruntukan yang lebih besar.

Sementara itu, golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 pula tidak harus dilupakan.

“Di samping membantu B40 ini saya harap kerajaan perhalusi bagaimana M40 yang pada dasarnya berpelajaran dan berkebolehan dibantu untuk membolehkan mereka mencapai satu tahap kemajuan supaya mereka boleh kembali ke landasan betul.

“Membantu M40 juga akan membantu B40 kerana dalam kalangan mereka ada usahawan, teknokrat, birokrat.

“Kumpulan ini akan membuka ruang dan peluang kepada B40 untuk bersama dalam arus pembangunan ekonomi negara,” jelas beliau.

Dalam program selama 30 minit itu, Haim menerangkan bagaimana UUM tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan sebaliknya bekerjasama dengan industri bukan sahaja untuk menjana pendapatan malah bagi mempertingkatkan kemahiran pensyarah dan mahasiswa.

Beliau turut menjawab desas-desus kononnya akan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Haim sebelum itu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Gazette, Noraini Abd. Razak.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pentadbiran & Pengurusan Acara) Komunikasi Korporat UUM H. Rashidah H. Rodzi dan Timbalan Pengarah (Media dan Pemasaran) Komunikasi Korporat UUM Dr. Azahar Kasim.-MalaysiaGazette