Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media semasa hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Satu mesyuarat Kabinet akan diadakan esok yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa pihaknya akan membawa cadangan untuk meningkatkan bekalan minyak masak sebanyak 5,000 tan metrik lagi sebagia bekalan tambahan di pasaran.

Kenyataan itu sekaligus menepis dakwaan Parlimen akan dibubarkan hari ini.

“Kementerian telah mengadakan cadangan untuk mengadakan bekalan tambahan 5,000 metrik tan minyak masak untuk mendapat kelulusan jemaah menteri esok untuk membolehkan bekalan tambahan minyak masak bersubsidi dalam plastik dikeluarkan untuk mengimbangi bekalan daripada sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kerajaan masih ada di mana satu kerajaan yang dipimpinan Perdana Menteri care taker akan dilantik sehingga Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) berlangsung.

“Bubar tak bubar itu kuasa YDPA, berasaskan kepada sembah cadangan daripada PM dan jemaah menteri. Itu di luar daripada skop Jawatankuasa Jihad, bubar atau tidak kita jalan terus dan akan terus buat kerja kita.

“Kerajaan memang kalau bubar pun kerajaan tetap wujud, waalupun dirujuk sebagai kerajaan care taker untuk jaga semua perkara. Walaupun Parlimen dibubar termasuk urusan inflasi kerana ia adalah urusan harian. Jadi kerajaan akan terus memikul tanggungjawab ini dan jawatankuasa kita akan meneruskan tugas seperti biasa,” katanya lagi.

Desas-desus pembubaran Parlimen dikuatkan lagi apabila Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Ismail Sabri akan memohon Parlimen dibubarkan ketika mengadakan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah hari ini. – MalaysiaGazette