Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini menjelang pembentangan Bajet 2023 esok, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 3.34 mata kepada 1,423.89 daripada penutupan urus niaga Rabu pada paras 1,420.55.

Indeks utama dibuka 4.2 mata lebih tinggi pada 1,424.75.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 127 berbalas 80 manakala 197 kaunter tidak berubah, 1,943 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 177.53 juta unit bernilai RM44.06 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, para pembeli telah kembali ke pasaran dengan indeks utama FBM KLCI ditutup melepasi paras 1,420 semalam.

“Selain Bajet 2023 negara yang akan dibentangkan esok, sentimen juga akan dipengaruhi oleh uar-uar berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada Bernama.

Justeru, Thong mengunjurkan indeks akan berlegar antara julat 1,415 hingga 1,430.

Beliau turut menjangkakan beberapa minat belian untuk saham minyak dan gas hari ini selepas minyak mentah Brent bergerak lebih tinggi melebihi paras US$93 setong disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebanyak 2 juta tong sehari.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa – Maybank dan CIMB masing-masing menambah satu sen kepada RM8.71 dan RM5.27, Public Bank menokok tiga sen menjadi RM4.28 dan Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM8.70 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.85.

Bagi saham aktif, MMAG Holdings naik satu sen kepada 3.5 sen, Cosmos Technology International yang baharu disenaraikan di Pasaran Ace menokok 20.5 sen kepada 55.5 sen, Hibiscus Petroleum naik 3.5 sen menjadi 98 sen manakala MQ Technology dan Dagang NeXchange tidak berubah masing-masing pada tiga sen dan 78.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 20.49 mata kepada 10,139.94, Indeks FBM 70 peroleh 13.83 mata kepada 12,249.45, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 20.34 mata menjadi 9,893.03 dan Indeks FBM Emas Syariah meraih 12.53 mata kepada 10,182.44.

Bagaimanapun, FBM ACE, susut 5.09 mata kepada 4,729.18.

Mengikut sektor,  Indeks Tenaga menambah 10.20 mata menjadi 704.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan pula mengukuh 40.23 mata pada 16,166.33, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.71 mata menjadi 174.66, tetapi Indeks Perladangan turun 16.00 mata kepada 6,579.06. – BERNAMA