zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dikatakan sangat bimbang sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat ekoran dakwaan salah laku ketika mereka menjadi kerajaan dahulu.

Pemimpin UMNO, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya, My Story: Justice in the Wilderness telah mencetuskan satu isu besar.

Menurut beliau, PH takut apabila kerajaan mengarahkan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan agar menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy susulan laporan pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan-dakwaan dalam buku tersebut.

“Mereka takut kalau terbukti apa yang dikatakan berlaku pada masa itu, maka rancangan mereka akan rosak.

“Rancangan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak kekal dalam penjara mungkin tercabar,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 September lalu telah mengarahkan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan agar menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy.

Pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan dalam buku Tommy telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Siasatan terhadap Tommy dijalankan di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Zaid menambah, seperti yang diketahui umum, Najib telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan kes SRC International Sdn. Bhd. dan tidak mustahil keputusan boleh memihak kepada beliau.

Beliau memberitahu, terdapat kemungkinan pendedahan Tommy mengenai pelantikan hakim-hakim semasa era kerajaan PH boleh menjadi isu.

“Inilah PH yang takut sangat nak buat pilihan raya sekarang,” jelasnya.

Zaid turut menjangka Tommy dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi ‘pemain utama’ dalam PRU-15 nanti. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dah baca dah laporan tu..boleh tgk dlm website Malaysia Today…amat memeranjatkan senarai nama hakim yg dicadangkan JAC dibakulsampah oleh Mahathir..nama teratas sebagai ketua Hakim Negara ialah Tan Sri Azhar Mohamad. Mahathir dan Tommy sendiri yg pilih Richard Malanjum & Tengku Maimon bukan JAC…memalukan sungguh..

Comments are closed.