Ismail Sabri Yaakob (tengah) disambut Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz setibanya di Kementerian Kewangan bagi mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kementerian itu yang bertungkus lumus untuk menyediakan Bajet 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada petang ini tidak pasti sama ada akan memohon Parlimen dibubarkan.

Perdana Menteri berkata, beliau memang menghadap YDPA setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Jemaah Menteri bagi memberi taklimat tentang apa yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Perbincangan kita lebih kepada Kabinet lah, tentang kertas Kabinet. Saya brief secara terperinci.Tarikh pembubaran tak pasti lagi nak bawa ke tidak bawa.

“Kita tengoklah kalau bincang (pasal Kabinet) lepas maghrib nanti tak sempatlah bincang hal lain (permohonan pembubaran Parlimen),” katanya selepas menemui kakitangan Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menyediakan Bajet 2023, di sini, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Ismail Sabri, pada kebiasaannya beliau menghadap YDPA pada jam 4 petang hari Selasa kerana mesyuarat jemaah menteri diadakan pada Rabu, namun apabila persidangan Parlimen  berlangsung, mesyuarat tersebut diadakan pada Jumaat yang menyebabkan beliau ke Istana Negara pada petang Khamis.

Tambahnya, pembubaran Parlimen merupakan kuasa penuh milik YDPA  berdasarkan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan yang mana ia tidak boleh dicabar.

Namun, jelasnya, siapa sahaja, termasuk Perdana Menteri,  berhak memberi pandangan tetapi kuasa pemutus terletak pada YDPA.

Ditanya sama ada Bajet 2023 akan dibentang esok, Ismail Sabri berkata: “Tunggu esok lah. Kalau saya cakap hari ini dah tak ada saspens.

“Macam-macam spekulasi ni, ada kata bentang. Ada kata tak bentang,”.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau ke Kementerian Kewangan untuk mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan kementerian itu yang bertungkus lumus menyediakan Bajet 2023.

“Saya difahamkan kebanyakan mereka ini telah tiga minggu tidur di kementerian ini, sediakan bajet sehingga pukul 3 tengah malam dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette