Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR – Jualan suku ketiga 2022 (3Q22) Perodua meningkat 5% kepada 69,011 unit berbanding 65,719 unit yang didaftarkan pada suku kedua 2022 berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, peningkatan pendaftaran pada suku ini (3Q22), menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih. dan kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana syarikat perlu mengurangkan tempoh menunggu.

Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5% berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun lepas ke atas hampir semua aktiviti ekonomi di negara ini bagi mengekang peningkatan kes Covid-19.

Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.

Bagi perbandingan tahun setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9% kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding 119,093 unit yangdijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, untuk perbandingan bulan ke bulan, jumlah pendaftaran kenderaan Perodua sedikit susut iaitu 5.43% kepada 24,626 unit pada September berbanding 26,039 unit yang didaftarkan pada Ogos 2022 sebagai sebahagian daripada pelan
memaksimumkan pendaftaran kenderaan syarikat kereta kompak itu pada suku keempat tahun ini.

”Buat masa ini, kami memberi fokus untuk meningkatkan momentum kami ke suku keempat tahun ini serta memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun depan bagi memastikan semua pelanggan yang menempah kenderaan Perodua dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Zainal.

Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.

Tambahnya, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September, manakala jumlah setakat tahun ini (Januari hingga September 2022) adalah pada 206,837 unit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast