Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 1 September lalu bagi mengisi kekosongan ahli profesional dalam lembaga itu, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ia susulan keputusan Jemaah Menteri pada 30 September 2022 yang meluluskan cadangan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) 1995 [Akta 533] supaya diperuntukkan seorang wakil Kerajaan Negeri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak di dalam keanggotaan lembaga pengarah LHDNM.

Cadangan pindaan ini seterusnya dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan.

Namun, katanya, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil daripada Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Tambah beliau, kerajaan percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian. – MalaysiaGazette