Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, aset ini akan memberi peluang kepada KWSP untuk melabur dalam aset logistik berkualiti tinggi dan menjana pendapatan sewa yang stabil untuk KWSP dan ALP.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP) telah menandatangani Perjanjian Pemegang Saham untuk membangunkan hab logistik 100% pra-pajakan di Bukit Raja, Klang, Selangor.

KWSP akan melabur sehingga 70% kepentingan dalam syarikat usahasama, ALP BR (Malaysia) Sdn. Bhd. (ALP BR) dan baki 30% akan dipegang oleh ALP.

Hab logistik moden ini akan terletak di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, di atas tanah pegangan bebas seluas 27 ekar.

Hab logistik ini akan dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik, atau teknologi ASRS 1 bagi meningkatkan kecekapan dan fleksibiliti untuk penyewa.

Hab ini dijangka siap menjelang suku ketiga 2024, dengan keluasan kasar melebihi 1.8 juta kaki persegi dan 100,000 kedudukan palet dalam zon Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik.

Setelah pembinaan siap, ALP BR akan memajakkan seluruh gudang kepada ALP di bawah perjanjian pajakan induk selama 15 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, aset ini akan memberi peluang kepada KWSP untuk melabur dalam aset logistik berkualiti tinggi dan menjana pendapatan sewa yang stabil untuk KWSP dan ALP.

”Pemilihan ALP sebagai rakan kongsi pelaburan kami untuk hartanah logistik dipacu oleh reputasi dan pengetahuan ALP sebagai pakar sektor global, yang memiliki portfolio berkualiti tinggi.

”Usaha sama ini memberikan peluang strategik kepada KWSP untuk memacu pertumbuhan sektor logistik, yang dijangka terus meningkat, didorong oleh pasaran e-dagang yang rancak dan kepelbagaian rantaian bekalan oleh pemain utama,” katanya. – MalaysiaGazette