GEORGE TOWN – Empat nama pemimpin UMNO disebut-sebut sebagai calon yang akan berentap di kerusi-kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mereka ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (Balik Pulau).

Manakala Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dilaporkan akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU-14 iaitu Kepala Batas serta Permatang Pauh.

Menurut sumber, perbincangan mengenai pembahagian kerusi Parlimen UMNO dibuat membabitkan lima kawasan termasuk Nibong Tebal.

Bagaimanapun, kata sumber itu tiada nama tetap disenaraikan bagi Parlimen Nibong Tebal buat masa ini.

“Setakat ini, tiga nama pemimpin UMNO bahagian itu dicalonkan iaitu timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian serta bendahari namun tiada sebarang kata putus dibuat setakat ini.

“Selain itu, nama calon daripada Friends Of BN turut disebut dalam perbincangan calon Parlimen Nibong Tebal,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk rekod, Shah Headan Ayoob Hussain Shah kini merupakan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau dan beliau merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang pada PRU14.

Beliau tewas dengan calon parti Bersatu iaitu Zolkifly Md Lazim dengan majoriti undi 425.

Manakala Shaik Hussein yang bertanding di Parlimen Nibong Tebal pada PRU14 dikalahkan oleh Datuk Mansor Othman. – MalaysiaGazette