Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Penyelarasan dan penyeragaman fatwa oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) tidak sekali-kali menyentuh atau menjejaskan kuasa sultan dan raja di negeri-negeri sebagai Ketua Agama Islam dalam urusan pengeluaran fatwa.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, mengikut Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan MKI 2022 secara jelas menyatakan, tiada apa-apa tindakan MKI yang boleh menyentuh kedudukan, hak, keistimewaan, kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada raja pemerintah sebagai ketua agama dalam negeri-negeri baginda sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titahnya, mengikut prosedur ditetapkan, keputusan dan pandangan Jawatankuasa Muzakarah akan dimaklumkan kepada MKI yang dipengerusikan oleh baginda yang kemudian akan dikemukakan bersama dengan pengesyorannya kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincang dan diterima pakai oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri bagi tujuan pewartaannya di peringkat negeri.

Keputusan muzakarah berkenaan, titah baginda akan hanya berkuatkuasa di negeri berkenaan selepas diperkenan oleh Raja Pemerintah Negeri dan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri.

“Dalam kesempatan ini juga, beta ingin menyatakan beberapa perkara yang boleh menjamin integriti dan kepercayaan rakyat kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI.

“Pertamanya, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya boleh dibuat oleh Pengerusi Muzakarah. Tiada pihak lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atau JAKIM boleh membuat kenyataan berkenaan.

“Ini penting untuk memastikan agar keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan dan fatwa di peringkat negeri tidak dipengaruhi unsur politik kepartian. JAKIM hanya bertindak sebagai urusetia Jawatankuasa Muzakarah MKI,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-121, di Dewan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Baginda menzahirkan rasa syukur dapat merasmikan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dipengerusikan buat julung kalinya oleh pengerusi yang baharu, Datuk Nooh Gadot.

Baginda turut menasihatkan para mufti untuk sentiasa menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam, lebih lagi jika isu yang berbangkit telah diputuskan secara bersama dalam ruang muzakarah.

“Sebab itulah, sepanjang tahun 2022, salah satu isu yang membangkitkan rasa dukacita beta ialah perbalahan mengenai keputusan muzakarah bagi Tarekat Naqsyabandi al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim al-Haqqani.

“Isu ini tidak sepatutnya dipanjangkan lagi kerana ia telah diputuskan secara konsensus oleh para mufti dan ahli muzakarah yang hadir pada tahun 2020 di Kuantan yang memutuskan selepas kajian semula tarekat ini boleh diamalkan oleh pengikutnya.

“Sebab itulah beta menzahirkan titah pada 9 April yang lepas bahawa sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan muzakarah tahun 2020 yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada tahun 2021,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan kepada semua agar perbalahan yang terjadi antara mufti dan agamawan tidak seharusnya menjadi tontonan orang awam kerana ia hanya akan merendahkan kewibawaan ulama itu sendiri.

Sewajarnya, titah baginda, perbezaan pendapat ulama itu hanya dibincangkan di dalam muzakarah dan tidak dibawa keluar dari gelanggang muzakarah itu.

“Ketiganya, beta ingin menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum. Justeru, apa-apa keputusan muzakarah yang dikeluarkan hendaklah juga mengambil kira hak dan kepentingan rakyat bukan beragama Islam seperti dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ajaran Islam sebagai agama yang murni dan memberi rahmat kepada semua termasuklah yang bukan Islam hendaklah sentiasa ditonjolkan dan Jawatankuasa Muzakarah juga perlu merangka peraturan dan adab perbezaan pendapat antara ahli-ahlinya.

“Sekiranya ada mufti atau ahli memilih pendapat yang tidak mengharuskan sesebuah amalan yang terjadi khilaf di kalangan ulama terdahulu, setidak-tidaknya perlu ada Adabul Ikhtilaf, sikap agree to disagree dan beradab dalam berbeza pendapat,” titahnya.

Baginda berharap muzakarah pada pagi ini akan menjadi titik permulaan dalam memperbaiki institusi kefatwaan di Malaysia agar menjadi lebih baik dan bertaraf antarabangsa.

Baginda juga menyeru semua pihak menghormati mufti-mufti di Malaysia dan institusi kefatwaan di negeri masing-masing, di samping sudah sampai waktunya negara ini menjadi kiblat kefatwaan bagi negara Islam lainnya.

Titah baginda lagi, tujuan utama penubuhan Jawatankuasa Muzakarah MKI ialah untuk menjadi forum, di mana para Mufti di seluruh negara, alim ulama dan pakar dalam bidang tertentu dapat duduk bersama bagi membincang, menimbang, memutus dan mengeluarkan keputusan muzakarah untuk dijadikan fatwa bagi peringkat negeri masing-masing.

“Keputusan yang dikeluarkan ini bukan sahaja mencakupi masalah fiqh, akidah dan tasawuf, tetapi juga melibatkan pelbagai isu yang mengaitkan kepentingan umat Islam dan Negara.

“Seperti kita sedia maklum, Jawatankuasa Muzakarah MKI ini yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan telah bermuzakarah dan mengeluarkan keputusan muzakarah dalam pelbagai perkara, seperti contohnya, pengharaman ajaran Al-Arqam, membendung pengaruh syiah, pengharaman buku dan fahaman anti hadis, kedudukan anak tidak sah taraf, senaman yoga dalam kalangan umat Islam, ajaran Qadiani serta keputusan pelantikan Peguam Syarie dari kalangan orang bukan Islam.

“Ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, beberapa keputusan muzakarah telah dikeluarkan termasuklah penangguhan aktiviti masjid dan surau seperti solat berjemaah dan solat Jumaat, pengurusan jenazah secara tayamum bagi kematian akibat Covid-19, kaedah melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta penyelarasan kaedah pembayaran zakat fitrah serta pernikahan secara online ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, adalah tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Jawatankuasa Muzakarah MKI memainkan peranan dan fungsi yang amat penting dalam masyarakat Islam di Malaysia dan menjadi menara rujukan hukum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Negara Malaysia adalah unik, di mana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Sultan-Sultan dan Raja-Raja adalah Ketua Agama bagi negeri-negeri yang beraja dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

“Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri-negeri (kecuali Wilayah-wilayah Persekutuan) untuk mengurus dan mentadbirkan hal ehwal agama Islam, termasuklah soal yang berhubung fatwa.

“Memandangkan setiap negeri mempunyai Jawatankausa Fatwa masing-masing, kadang kala terdapat konflik antara fatwa negeri dan keputusan muzakarah di peringkat kebangsaan serta antara satu negeri dengan negeri yang lain,” titah baginda.

Baginda memberi contoh, fatwa mengenai pelaburan dalam ASB dan ASN, yang mana konflik dan ketidakseragaman itu menimbulkan kekeliruan dan masalah kepada masyarakat Islam serta mempunyai implikasi kepada pembangunan ekonomi negara.

Justeru, titahnya, salah satu fungsi dan tugas penting Jawatankuasa Muzakarah MKI ialah untuk menyelaras pengeluaran hukum dan fatwa bagi negeri-negeri di Malaysia.

Ketetapan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah itu merupakan ijtihad kolektif (ijtihad jama‘i) semua mufti negeri-negeri yang dibantu oleh pakar dalam bidang tertentu.

“Ini adalah mekanisme terbaik untuk menyelaras dan menetapkan sesuatu hukum syarak semasa yang dihadapi oleh umat Islam,” titah baginda. – MalaysiaGazette