Foto Facebook MFL.

KUALA LUMPUR – Penggunaan format pusingan 16 pasukan yang akan dimainkan secara timbal balik dijangka bakal memberikan cabaran tersendiri kepada semua pasukan yang bersaing di TM Piala Malaysia 2022.

Pengendali kejohanan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata, juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang berada di kedudukan kelima (LS5) buat masa ini akan memulakan langkah berdepan Kelantan United FC jika mampu mengekalkan posisi mereka selepas tamat 22 perlawanan.

Sementara itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut akan bertemu pasukan yang berada di tangga kesembilan (LS9) Liga Super.

“Lain-lain undian memperlihatkan Kuching City FC bakal menjadi pelawat terlebih dahulu kepada pasukan dari tangga ke-11 manakala UiTM FC diundi berdepan pasukan yang akan menduduki tangga ketiga Liga Super (LS3).

“Naib juara Liga Premier, Kelantan FC, akan menentang pasukan di tangga ke-10 Liga Super (LS10) sementara pasukan di tangga ke-8 Liga Super (LS8) berdepan pasukan di tangga ke-4 Liga Super (LS4).

“Melengkapkan dua lagi pertemuan ialah PDRM FC akan melawan pasukan di tangga ke-6 Liga Super (LS6) manakala pasukan di tangga ke-7 Liga Super (LS7) menentang naib juara Liga Super (LS2),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Majlis undian TM Piala Malaysia 2022 yang berlangsung di Studio Spacelabs hari ini menyaksikan semua pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang untuk melangkah jauh dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-96.

Majlis undian telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam dan bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam manakala Eksekutif Perundangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Muhd Alif Muhd Fadzil menjadi saksi kepada proses undian.

Undian dilakukan walaupun saingan Liga Super belum berakhir dan kedudukan tempat kedua hingga keempat kini menjadi rebutan, Sabah FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC selepas JDT dinobat juara kali kesembilan berturut-turut lebih awal.

Sementara itu, berdasarkan mekanisme undian yang digunapakai kali ini, 16 pasukan yang bertanding telah dipecahkan kepada tiga balang dengan empat pasukan teratas Liga Super (LS1-LS4) berada dalam Balang A.

Semua pasukan dari Balang A ini bukan sahaja mendapat peluang bermain selaku pelawat terlebih dahulu pada perlawanan pertama pusingan 16 tetapi sekiranya mara ke suku akhir, mereka turut memperoleh kelebihan yang sama iaitu beraksi di laman lawan pada aksi pertama.

Balang B pula menempatkan pasukan LS5 dan LS6 bersama-sama pasukan pertama dan kedua dari Liga Premier (setelah menolak penyertaan Reserve Team) iaitu Kelantan FC serta Kuching City FC, dan mereka juga akan bermain sebagai pelawat pada perlawanan timbal balik yang pertama.

Melengkapkan baki undian, pasukan LS7 hingga LS11 dan pasukan kedudukan ketiga hingga kelima Liga Premier berada di Balang C dan akan bermain selaku tuan rumah pada perlawanan pertama di pusingan 16.

Kedudukan posisi setiap pasukan akan diambil kira selepas lengkap 22 perlawanan Liga Super yang berakhir pada 15 Oktober nanti.

Susulan kejayaan KL City mara ke final Piala AFC dan akan berdepan Al-Seeb dari Oman pada 22 Oktober ini, aksi sulung TM Piala Malaysia akan bermula pada 25 dan 26 Oktober ini manakala perlawanan akhir pada 26 November ini di venue yang akan ditetapkan MFL. – MalaysiaGazette