loan scam money ringgit

KUALA LUMPUR – Biarpun keadaan ringgit lemah, namun Malaysia tidak berada dalam krisis, tegas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Malah, jelasnya, kedudukan ringgit sekarang berbeza daripada keadaan yang berlaku semasa krisis kewangan Asia 1998.

“Sebagai contoh, nisbah pinjaman terjejas bersih untuk sistem perbankan setakat suku kedua 2022 adalah pada 1.1 peratus dan bukannya 18.6 peratus seperti dalam tempoh krisis kewangan Asia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul menjawab soalan lisan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya-PH) yang mahu tahu mengenai pelan induk kerajaan, garis panduan setiap kementerian serta perancangan segera kerajaan untuk menangani krisis nilai mata wang ringgit yang semakin melemah kini dan berada pada paras terendah dalam tempoh 24 tahun jika dibandingkan dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia dan kebanyakan negara asing terkesan dengan peningkatan dolar AS namun tidak mengalami sebarang krisis ekonomi atau kewangan.

Jelasnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin meningkat dan kadar pengangguran telah menurun sejak tempoh pandemik Covid-19.

“Walaupun volatiliti dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur,” jawab Tengku Zafrul lagi.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kedudukan asas ekonomi dan sistem kewangan negara masih teguh dan berdaya tahan.

Tambah Tengku Zafrul lagi, kedudukan aset luar Malaysia adalah kukuh dicerminkan oleh pegangan aset luar oleh institusi kewangan dan syarikat korporat.

“Selain itu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel akan terus memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi domestik.

“Malaysia juga masih mampu bertahan dari kejutan luar disokong oleh sistem perbankan yang teguh. Kecairan pasaran kewangan Malaysia juga disokong oleh kehadiran pelabur institusi domestik serta pasaran kewangan yang mendalam dan mudah tunai yang tinggi.

“Perkara ini dapat memudahkan pengantaraan aliran portfolio yang teratur, lantas mengurangkan kesan kejutan kewangan luaran,” katanya.

Selasa lalu, Tengku Zafrul menolak dakwaan Malaysia akan mengalami krisis ekonomi dan kewangan. – MalaysiaGazette