JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan di dalam gambar ini.

Menurut beliau, ia adalah kenyataan palsu yang disebarkan secara berterusan oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam pelbagai aplikasi media sosial.

Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) telah pun membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini.

Tunku Ismail berkata, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengannya ataupun Keluarga Diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office atau di laman sosial rasminya sahaja.

“Kenyataan palsu ini sudah beberapa kali disebarkan di dalam media sosial dan ia masih berterusan sehingga ke hari ini. Saya telah menitahkan Royal Press Office untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya.

Kenyataan palsu itu, TMJ kononnya mendakwa UMNO dipenuhi pemimpin sampah dan mentaliti ahlinya juga sampah menyebabkan parti itu seperti sampah.

Selain itu, kenyataan itu juga mengajak rakyat untuk menolak parti UMNO pada PRU-15 nanti.-MalaysiaGazette