Warga peladang diyakini dapat dibantu mendepani cabaran ekonomi menerusi subsidi serta insentif dan Bajet 2023.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR  – Warga peladang diyakini dapat dibantu mendepani cabaran ekonomi menerusi subsidi serta insentif dan Bajet 2023.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob berkata, pelan belanjawan itu memang dinantikan pihaknya sebagai usaha membantu para petani, pesawah serta nelayan.

Katanya, peruntukan RM1.8 bilion yang meningkat sebanyak RM100 juta berbanding 2022 menunjukkan kerajaan Keluarga Malaysia merealisasikan permintaan pesawah.

Tambah beliau, keperluan pesawah juga dapat dibantu melalui bantuan bulanan sebanyak RM200 selama tempoh tiga bukan atau semusim di bawah peruntukan RM228 juta kepada 240,000 pesawah seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang tadi.

Mengulas lanjut,  Zamri berkata, pada Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS yang lalu, pihaknya pernah menyuarakan hasrat kepada kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mewujudkan semula bantuan bulanan kepada pesawah.

“Kita minta wujudkan semula bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada pesawah dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi.

“Susulan pengumuman itu, NAFAS selaku badan yang memayungi hampir satu juta ahli Peladang menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang akan disalurkan kepada Keluarga Peladang” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. -MalaysiaGazette