Mayat mangsa warga Bangladesh ditemui dalam kawasan semak di Seri Kembangan, Selangor. Foto: IPD Kajang.

KAJANG – Empat warga Bangladesh ditahan polis di Baranang dan Semenyih, Selangor kerana disyaki menculik dan membunuh rakan senegara.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh reput di kawasan semak di Seri Kembangan semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada 30 September lalu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh tentang kehilangan anak saudaranya yang berusia 39 tahun yang tidak dapat dihubungi setelah keluar dari rumah pada 25 September.

Katanya, siasatan awal polis mendapati ibu kepada mangsa di Bangladesh telah menerima panggilan dari suspek yang dipercayai warga Bangladesh pada 26 September lalu menyatakan mangsa berada dalam tahanannya.

Jelas beliau, ibu mangsa yang diugut suspek membayar 500,000 taka Bangladesh (RM24,000) untuk melepaskan anaknya itu dalam tempoh dua hari selepas bayaran diterima.

“Oleh kerana ibu mangsa tidak menerima sebarang berita berkenaan anaknya daripada suspek berkenaan, pada 30 September lalu wanita itu mengarahkan pengadu yang merupakan abang kandungnya untuk membuat laporan polis berkenaan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zaid, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga Bangladesh di Beranang pada Rabu lalu.

Tangkapan tersebut membawa kepada penahanan dua lagi warga Bangladesh di Semenyih semalam dan hasil soal siasat ke atas kesemua suspek kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park, Seri Kembangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mayat mangsa dalam keadaan separuh reput yang mana tangan dan muka mangsa diikat dengan pita pelekat serta kain sarung dan punca kejadian dipercayai mangsa dibunuh kerana mangsa mengenali suspek yang menculiknya,” ujarnya.

Tambah beliau, mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Kesemua suspek yang berusia 30-an itu kini direman selama tujuh hari sehingga 13 Oktober ini untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 atau menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette