Hampir 2,000 lagi rumah mampu milik bakal didirikan khusus untuk manfaat anak watan negeri Pahang menggunakan teknologi IBS kenaf

KUANTAN – Kumpulan KMDI Holdings merancang membina hampir 2,000 buah rumah mampu milik yang menggunakan  teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) berasaskan kenaf di Pahang.

Pengarah Urusannya, Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, pembinaan rumah menggunakan produk kenaf tidak akan terjejas apabila dilanda banjir, malah ia juga termasuk kategori hijau kerana penggunaan teknologi tumbuhan.

“KMDI telah mengkaji selama setahun lebih untuk mengeluarkan produk-produk IBS Kenaf. Akhirnya, KMDI telah menubuhkan Pusat Kajian Pembangunan IBS KMDI Wilayah Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Rumah Generasi Malaysia dan Perasmian Pusat Kajian Pembangunan IBS KMDI Wilayah Pantai Timur di Bukit Ubi yang disempurnakan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia merangkap Ahli Lembaga CIDB Malaysia, Datuk Azman Yusoff.

Pengarah Urusan Kumpulan KMDI Holdings, Datuk Azjuriyahti Azlan

Hadir pada majlis Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Idris Mohd Salleh dan Pengerusi Kontraktor Muda Persatuan Kontraktor Bumiputera yang juga Pengarah Urusan Jaazura Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Faizal Daud.

Banglo setingkat Rumah Generasi Malaysia yang berkeluasan antara 700 kaki persegi (kp) hingga 1,000 kp itu dijual pada harga antara RM59,500 hingga RM85,000.

Menurut Azjuriyahti, melalui pusat kajian itu pihaknya berjaya menghasilkan tiga sistem teknologi pembinaan dikenali KMDI Building System 1, KMDI Building System 2 dan KMDI Building System 3 yang akan digunakan dalam binaan rumah yang dibuina syarikat.

Pengarah Urusan Kumpulan KMDI Holdings, Datuk Azjuriyahti Azlan (tengah) menunjukkan model unit rumah siap didirikan menggunakan tekonologi kenaf kepada Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia merangkap Ahli Lembaga CIDB Malaysia, Datuk Azman Yusoff (kanan)

Sementara itu, Pengarah Urusan Jaazura Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Faizal Daud berkata, seramai 100 kontraktor dalam kalangan anak muda telah berdaftar dengan KDMI untuk melaksanakan projek terbabit.

Ia merupakan salah satu usaha KDMI melahirkan usahawan IBS kenaf yang akan diuruskan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia dan Syarikat Jaazura Resources Sdn. Bhd., jelasnya.

“Setakat ni dah mencukupi 100 orang kontraktor, tapi kita akan buka lagi pendaftaran.

“Anak muda ini kita pilih mereka yang mampu berdaya saing, mampu menyiapkan projek ini mengikut jangka waktu. Sebab seperti yang sedia maklum, sebuah rumah kita jangka akan siap dalam tempoh sebulan, jadi kita memerlukan kontraktor yang berwibawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusoff berkata, usaha KDMI melaksanakan projek terbabit adalah bertepatan dalam industri pembinaan negara yang cenderung menggunakan teknologi itu.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia merangkap Ahli Lembaga CIDB Malaysia, Datuk Azman Yusoff

Beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga CIDB Malaysia menyeru persatuan kontraktor bumiputera Malaysia untuk berdaftar dengan KMDI Holdings dan mencari peluang bersama-sama untuk menjadi kontraktor dan menggunakan teknologi itu untuk melaksanakan projek perumahan.

“Insyaallah saya akan membawa perkara ini ke pihak atasan supaya KMDI ini dapat juga berhubung dengan CIDB untuk mereka menyokong sebagai produk tempatan yang boleh membina kerjaya untuk anak muda, untuk bangsa kita dan untuk peluang kepada usahawan tempatan berkecimpung dalam industri pembinaan,” katanya. – MalaysiaGazette