Wings bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur menerusi Konsert Naga Kramat pada 22 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock nombor satu Malaysia bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini yang akan menjadi gelanggang Wings bagi siri konsert terakhir untuk tahun ini di ibu kota.

‘Naga Kramat’ menjadi pilihan jenama konsert kerana ia boleh memberi gambaran tentang kehebatan anggota kumpulan Wings apabila berada dipentas yang besar dan gah.

Peminat tegar Wings pasti maklum bahawa Naga Kramat adalah tajuk bagi sebuah album Wings yang diterbitkan pada tahun 2002 iaitu album ke-10 kumpulan itu.

“MW Mega Production dan Awie Entertainment merancang lebih kurang dua bulan lepas untuk melaksanakan projek ini. Peringkat awal agak sukar kerana jadual Wings dan Datuk Awie agak padat.

“Setelah berbincang dengan pihak Awie Entertainment akhirnya tarikh keramat ini dipilih sebagai hari yang terbaik untuk menjayakannya,” ujar Mashar Mokhtar selaku penganjur.

Wings kini sudah 37 tahun berada arena muzik Malaysia dan terus unggul apabila tahun 2022 menjadi tahun yang agak sibuk bagi kumpulan ini di mana terbaharu membuat persembahan di negara jiran Singapura sempena perlumbaan Formula 1 baru-baru ini.

Wings kini sudah 37 tahun berada dalam industri di negara ini.
Mashar menambah, ia adalah projek sulung MW Mega Production dan pastinya pihaknya meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk acara ini.

“Saya memberikan 110 peratus komitmen bagi memastikan konsert ini berjalan lancar dan berjaya.

“Saya menyeru semua sayap-sayap Wings dan peminat rock tanahair untuk datang dan saksikan sendiri konsert ini dan menjanjikan ia akan memberikan kepuasan yang maksima untuk anda,” ujarnya.

Sementara itu, MW Mega Productions turut mengumumkan satu harga baru khas untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta  (IPTA/IPTS )iaitu RM169.00 bagi tiket kategori bediri di zon ‘Bujang Senang’.

Ia dilakukan kerana ada permintaan dari kalangan pelajar dan penganjur mengambil kira pandangan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli harga tiket yang tersenarai sebelum ini.

“Jadi harga yang ditawarkan ini sangat berbaloi untuk menyaksikan persembahan dari lagenda rock Malaysia. Syaratnya mudah, mereka hanya perlu menunjukkan bukti kad pelajar semasa membuat tempahan atau belian dan pembelian tiket ini hanya sah melalui ejen Sayap-Sayap Wings,” kata Mashar lagi..

Selain itu, pihak penganjur juga sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah kerusi memandangkan permintaan yang agak tinggi untuk kategori tempat duduk.

”Kami akan umumkan dalam masa terdekat di media sosial Naga Kramat dan Sayap – Sayap Wings, ianya masih dalam perbincangan antara kami, Zepp KL dan ticket2u,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, MW Mega Production menjelaskan tiket konsert mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Memandangkan tempat yang agak terhad amat digalakkan untuk mereka membuat pembelian seawal mungkin bagi mengelakkan keciciran untuk menyaksikan konsert ini.

“Harga tiket mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama),” jelasnya. – MalaysiaGazette