Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melambai tangan kearah pengamal media semasa hadir pada Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sempat menasihati para petugas media agar tidak menunggu terlalu lama di luar bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau agaknya bimbang cuaca panas berpanjangan ditambah dengan suhu politik sekarang yang juga ‘panas’ sedangkan petugas media berkumpul bagi mendapatkan berita berkenaan mesyuarat Kabinet hari ini.

“Jangan tunggu lama-lama dekat luar, panas!” selorohnya kepada petugas media yang bertugas sejak pukul 8 pagi di luar pekarangan bangunan Putra Perdana.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di bangunan Perdana Putra di sini kira-kira pukul 10 pagi.

Mesyuarat itu yang tertangguh sejak Rabu lalu akan digantikan pada hari ini selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Mesyuarat Kabinet hari ini antara lain membincangkan berkenaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat petang nanti.

Selain itu, difahamkan, Perdana Menteri juga mungkin akan meminta penjelasan daripada 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada YDPA bagi membantah pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini baru-baru ini.

Terdahulu, Perdana Menteri yang menaiki kenderaan Vellfire berwarna putih dengan diiringi kereta polis dan motosikal berkuasa besar tiba di Bangunan Putra Perdana kira-kira pukul 9.32 pagi. – MalaysiaGazette