Muhammad Fauzi Yusoff.

GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang menyifatkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat perlu diutamakan ketika ini berbanding soal pembubaran Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara lebih diutamakan bagi memulihkan ekonomi serta sosial yang kian terjejas disamping ramalan banjir besar bakal melanda.

“Justeru, semua parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), badan kerajaan serta semua rakyat Malaysia wajar bersiap sedia untuk kemaslahatan diri, keluarga, harta bahkan negara.

“Sehubungan itu, Pas Pulau Pinang tetap berpendirian bahawa kepentingan negara dan rakyat wajar diutamakan terlebih dahulu.

”Bak kata pepatah ‘jangan sudah terhantuk, baru terngadah’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Pas Pulau Pinang turut menyokong penuh kenyataan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tiada keperluan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette