Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz membuat satu laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ikhmal Hisham berkata, tuduhan Rafizi adalah satu fitnah dan tohmahan.

“Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya.

“Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan/mempengaruh pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian,” kata Ikhmal Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan polis berkenaan dibuat Setiausaha Sulit Kanannya, Mohammad Iskandar Idris di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ikhmal Hisham berkata, laporan itu dibuat berhubung tindakan Mohd Rafizi Ramli yang memuatkan satu artikel dalam Facebook beliau pada 6 Oktober 2022 bertajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’.

Ihkmal Hisham berkata, tuduhan itu dikaitkan beliau dengan sebuah syarikat, MA Analytics Sdn Bhd.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang
perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Langkah itu diambil sebelum sebarang perolehan dilaksanakan dan seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan.

“Oleh itu apa yang dinyatakan oleh Mohd Rafizi Ramli dalam artikel itu juga adalah tohmahan yang bertujuan merosakkan nama baik saya dan menyemarakkan kebencian orang awam terhadap saya.

“Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Mohd Rafizi melalui peruntukan undang-undag sedia ada.

“Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi,” jelas Ikhmal Hisham.

Dalam pada itu, Ikhmal Hisham berkata, beliau bersedia menghadapi siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selasa lalu, Rafizi mendedahkan syarikat baharu ditubuhkan kurang dua tahun mendapat tender pembekalan sistem meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) Tentera Darat Malaysia (TDM) bernilai RM854 juta.

Rafizi mendakwa, hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilakukan beliau sendiri mendapati syarikat itu hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun daripada tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan.

Katanya, syarikat itu juga tidak mempunyai rekod dalam industri pertahanan namun memperoleh kontrak pembekalan persenjataan yang sebegitu besar. – MalaysiaGazette