ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel serta membuat rampasan dan sitaan RM33,075 dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Mukim Pulai, di sini semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya merampas 2,500 liter diesel dalam serbuan tersebut yang dilakukan pukul 7 petang.
Jelasnya, ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemui sebuah lori yang sudah diubah suai dilengkapi tangki simpanan serta pelbagai peralatan bersama-sama diesel terbabit.

“Semakan dokumen dan pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan diesel di lokasi yang tidak dilesenkan atau tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.
“Susulan itu, pasukan penguat kuasa menyita dua unit tangki IBC, sebuah skid tank, sebuah electric motor pump, sebuah DC oil pump, sebuah mesin flow meter berserta hos serta sebuah lori kerana didapati pernah dikenakan tindakan dalam kes terdahulu atas kesalahan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saslinda, dua lelaki tempatan yang dipercayai merupakan pekerja premis tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan dan nilai keseluruhan barang sitaan dianggarkan sebanyak RM33,075.00.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memindahkan atau menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan atau tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan,” katanya.
KPDN Johor menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan, khususnya diesel kerana boleh menjejaskan kepentingan pengguna serta kestabilan bekalan negara.
KPDN katanya, tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan atau menyeleweng barang kawalan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan diseru untuk menyalurkan aduan dan maklumat melalui saluran rasmi KPDN.- MalaysiaGazette
















