Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 07 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggesa lebih banyak entiti menyumbang dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang diwujudkan dengan mandat bagi penjanaan sumber pendapatan berterusan.

Ia perlu untuk faedah negara serta generasi akan datang.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah bercadang memberi sumbangan sebanyak RM2 bilion untuk KWAN pada 2023.

“’Kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis (pandemik) berakhir dan tertakhluk kepada kedudukan kewangan mengizinkan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, setakat 30 September 2022, sebanyak RM5 bilion telah dibelanjakan untuk Program Imunisasi Covid-19 negara dan kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM6 bilion untuk vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette