Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala peruntukan serta inisiatif  dalam Bajet 2023 dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkasa kualiti perkhidmatan  dalam memelihara ketenteraman dan keamanan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani melahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan dan inisiatif yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan “Bajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama”.

“PDRM juga mengalu-alukan penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet berkenaan dengan menggabungkan kerjasama PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Financial Crime Centre (NFCC).

“Saya yakin, usahasama ini akan memberikan impak positif terhadap usaha kerajaan memerangi jenayah scam di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau  sebagai reaksi kepada bajet tahunan itu yang turut mengumumkan sejumlah peruntukan untuk memanfaatkan PDRM menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tambah Acryl, selain pengumuman kerajaan bagi penjawat awam dalam Bajet 2023, PDRM turut menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan-peruntukan berikut yang akan dinikmati secara langsung oleh warga pasukan beruniform yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di dalam negara sepanjang masa.

Katanya, peruntukan sebanyak RM18.3 bilion yang diberikan kepada KDN bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan keselamatan negara yang mana.

Daripada jumlah itu, ujar beliau, dana berjumlah RM431 juta diumumkan kerajaan untuk pembelian dan penyelenggaraan aset-aset yang dimiliki PDRM.

“Justeru, RM42 juta turut diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf kuarters kediaman anggota PDRM; penambahan 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen, Esscom, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu, Sabah.

“Pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian prasarana kepada 21,000 pemegang kad pesara polis dan veteran ATM di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang sangat dihargai oleh PDRM dan akan dimanfaatkan sebaik-baiknya,” jelasnya lagi.-MalaysiaGazette