Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi menambah baik tahap kelestarian industri sawit termasuk menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kerajaan juga akan mempergiat usaha mempromosi dan Kempen Menangani Anti Minyak Sawit di peringkat global,” katanya semasa membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjelaskan program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah berjaya meliputi 98 peratus kawasan penanaman sawit.

Menyentuh kepada levi pekerja asing, beliau berkata levi pekerja asing pelbagai peringkat (multi-tiered levy) disasarkan untuk dilaksanakan menjelang tahun 2023.

“Melalui  pendekatan tersebut, syarikat dengan bilangan pekerja asing tinggi seperti sektor perladangan dan pembinaan akan dikenakan kadar levi yang lebih tinggi dan kerajaan bercadang menyalur semula hasil levi tambahan untuk menyokong majikan membiayai inisiatif automasi,” katanya.

Tengku Zafrul berkata dasar tersebut akan memberi insentif dan membantu majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. – BERNAMA