Orang awam tidak melepaskan peluang menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu yang diberi khas secara percuma selama sebulan selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JUN 2022. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion iaitu yang terbesar pernah disediakan dan meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan 2021 sebanyak RM64 bilion.

Daripada jumlah tersebut, RM16.5 bilion disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, ECRL, RTS Link dan Central Spine Road.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jajaran Pan Borneo Negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sarawak dan Pan Borneo Negeri Sabah pula akan siap menjelang 2024.

Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya Persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.

Kini, projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 melibatkan stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023 untuk manfaat penduduk Lembah Klang.

Berhubung projek MRT3 pula, ia merupakan komitmen kerajaan melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer. MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028 manakala Fasa 2 pada tahun 2030.

Projek ini melibatkan kos RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion. – MalaysiaGazette