Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) telah mencatatkan peningkatan pendapatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, TH mencatat sejumlah RM1.47 bilion pendapatan dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion.

Jelas Idris, ia adalah paras tertinggi yang direkodkan TH sejak 59 tahun penubuhannya.

“Sepanjang tempoh enam bulan pertama, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang.

“Ini semua menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pendeposit terhadap TH telah mula kembali pulih dengan peningkatan simpanan deposit yang sangat ketara.

“Begitu juga dengan aset dan keuntungan TH yang telah menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2022, berbanding RM2.29 bilion untuk keseluruhan tahun 2021,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Idris berkata demikian menjawab pertanyaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar-PH).

Mujahid meminta kerajaan menyatakan kedudukan kewangan Tabung Haji terkini pasca penstrukturan semula yang dimulakan sejak tahun 2018.

Mengulas lanjut, Idris berkata ketika 2018, TH mengalami penurunan pendapatan yang ketara iaitu daripada daripada RM75.41 bilion kepada RM 69.42 bilion.

Jumlah itu turun 7.94 peratus dari tahun 2017 dan aset Lembaga Tabung Haji (LTH) juga didapati menurun sebanyak 2.03 peratus.

“Namun, setelah pertukaran kerajaan yang berlaku pada awal tahun 2020, kerajaan telah mengkaji semula pelan penstrukturan tersebut termasuklah menghentikan segala bentuk penjualan aset-aset TH dan melaksanakan langkah-langkah yang lebih strategik seperti penubuhan semula panel pelaburan yang telah dihapuskan oleh kerajaan sebelum ini bagi menjamin kepercayaan umat Islam dan pendeposit TH,” jawab Idris. – MalaysiaGazette