Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kemasukan dua produk Mi Sedapp keluaran Indonesia yang didakwa mengandungi Ethylene Oxide.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata menerusi semakan pihaknya, Mi Sedapp Korean Spicy Soup Instant Noodles ada diimport ke negara ini namun tiada produk yang bertarikh luput seperti yang didakwa.

“Walau bagaimanapun, tiada kemasukan produk terlibat dengan dengan tarikh luput seperti di atas direkodkan.

“KKM akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) di semua pintu masuk negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr. Noor Hisham, KKM mengambil maklum akan laporan media mengenai residu ethylene oxide yang dikesan di dalam beberapa perisa produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia.

Dua produk tersebut adalah Mi Sedaap Korean Spicy Chicken Instant Noodles dengan tarikh luput 21 Mei 2023, dan Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles dengan tarikh luput 17 Mac 2023.

Singapura semalam telah menarik semua dua produk tersebut dipercayai mengandungi ethylene oxide, yang biasa digunakan sebagai racun perosak. – MalaysiaGazette