Mahathir UMNO PRU-15
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin UMNO akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

FMT yang memetik Nikkei melaporkan, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berpandangan sedemikian kerana UMNO mempunyai ‘banyak wang’.

Bagaimanapun, bekas Presiden UMNO itu menjangka Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.

“Akan berlaku (konflik dalaman) kerana saya pasti mereka tidak mahu Perdana Menteri sedia ada dikekalkan,” katanya, hari ini.

Pemerhati politik sebelum ini menjangka UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan momentum kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor pada PRU15.

Pada 26 September lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Mahdzir Khalid mengesahkan bahawa Ismail Sabri masih calon Perdana Menteri dan ‘poster boy’ BN, seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat parti.

Namun, Dr. Mahathir berpandangan, UMNO mungkin mencalonkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyandang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara itu.

“Beliau yang paling kurang terlibat dengan jenayah,” jelasnya.

Sementara itu, FMT yang memetik Associated Press melaporkan, Dr. Mahathir berkata, sebahagian besar pengundi Melayu kini kembali menyokong UMNO.

Beliau mendakwa, situasi itu berlaku kerana mereka telah ditawarkan wang dan insentif-insentif lain. – MalaysiaGazette