KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan sayap parti itu di seluruh negara.
Persidangan selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian-Bahagian.
Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian juga berlangsung selama tiga hari dari 14 hingga 16 Oktober ini.
“Selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan, saya doakan semua berjalan dengan baik dalam melaksanakan tanggungjawab demi memenuhi tuntutan parti.
“Semoga perjuangan kita sentiasa diberkati Allah Taala dan di dunia mendapat kejayaan serta di akhirat mendapat keredaan,” katanya dalam perutusan ringkas menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut berharap persidangan kali ini menjadi wadah untuk semua menggerakkan pengukuhan dan kebangkitan parti.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan pula ketika mengucapkan selamat bersidang berkata, semua ahli berada dalam mood peperangan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette