KUALA LUMPUR – Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang berada di negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) terpaksa akur keputusan kerajaan negeri sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang, Young Syefura Othman berkata, sebagai pembangkang di negeri itu, mereka perlu ikut peraturan negeri berkenaan, tanpa ada apa-apa pilihan.
“Sebagai wakil rakyat di negeri BN, kita kena ikutlah sebab kita pembangkang.
“Kita tidak boleh buat apa-apa sebab kita bukan kerajaan negeri. Kalau kita adalah kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, kita tidak akan bubar.
“Sebab itulah kami sebagai pembangkang di negeri BN sedang bersiapsiaga dari segi program parti termasuk bersiap sedia menghadapi banjir,” katanya hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari itu berkata, walaupun tiga negeri PH akan mengadakan PRU tahun depan, mereka tetap akan adakan program seperti itu.
Kerana katanya, inilah masanya untuk mereka berjumpa rakyat, menerangkan isu nasional, isu kerajaan negeri dan sebagainya.
“Kalau hendak kata kita boikot, kita bukan boikot, tetapi kita sebenarnya hendak menunjukkan bahawa daripada PH, kami sangat mementingkan kebajikan dan keselamatan rakyat.
“Sebab itu kami tidak mahu PRU diadakan dalam musim banjir. Kalau masih berlaku PRU, kita sebagai ADUN pembangkang kena akur, sebab hendak atau tak hendak Parlimen dan DUN bubar juga.
“Jadi, terserah kepada kerajaan negeri sama ada akan bubar bersama kerajaan PH atau pun tidak,” katanya. – MalaysiaGazette