NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terbakar di barat Maharashtra India, lapor Agensi Anadolu.
Polis memaklumkan bas berkenaan terbakar selepas melanggar sebuah trak di Nashik pada awal Sabtu.
“Lebih 30 lagi berjaya diselamatkan dan mereka yang cedera telah dirawat serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” kata pegawai kanan polis Amol Tambe.
Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat melecur teruk manakala siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan.
Perdana Menteri, Narendra Modi menzahirkan dukacita atas tragedi itu.
“Saya turut bersedih bersama mereka yang kehilangan orang tersayang. Semoga mereka yang cedera dapat pulih secepat mungkin,” katanya.
Pentadbiran tempatan turut menyediakan pelbagai bantuan kepada mereka yang terjejas, katanya.
Modi turut mengumumkan pampasan kepada saudara-mara si mati dan mangsa yang cedera. – Bernama