Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberi pengecualian
bayaran fi Permit Import (AP) sebanyak RM10,000 ke atas setiap unit kereta elektrik (EV) yang diimport oleh syarikat-syarikat pemegang AP terbuka dalam usaha memelihara alam sekitar yang lebih bersih.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mohamed Azmin Ali berkata, pengecualian bayaran itu juga akan menyokong usaha kementeriannya meningkatkan penawaran kereta EV di pasaran negara ini.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) telah berbincang dengan Kementerian Kewangan di mana Kerajaan bersetuju memberi pengecualian bayaran fi AP sebanyak RM10,000 ke atas setiap unit EV yang diimport oleh syarikat-syarikat pemegang lesen import (AP) terbuka yang telah dilantik oleh MITI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, langkah yang diambil itu secara langsung dapat membantu membangunkan ekosistem EV selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 serta sasaran enjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), termasuk EV. – MalaysiaGazette