Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr. Zaliman Sauli (empat kiri) bergambar selepas menyampaikan Surat Tawaran Dermasiswa SULUNG kepada penerima Muhammad Hariz Haikal, 21 (dua kiri) yang merupakan antara 78 mahasiswa terpilih menerima biasiswa ketika di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2022.

BATU PAHAT – Bajet 2023 yang dibentangkan semalam mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk terus memacu pendidikan tinggi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kementeriannya menerima peruntukan yang besar iaitu RM15.1 bilion dengan RM11.7 bilion akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM3.4 bilion diperuntukan kepada perbelanjaan pembangunan termasuk dana perkasakan pendidikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Alhamdulillah. Demi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia dapat meneruskan pengajian hingga ke menara gading dengan baik, Kementerian Pengajian Tinggi telah diperuntukkan dana lebih besar dalam Bajet 2023.

“Selain itu, kerajaan juga amat menitik beratkan pendidikan TVET dengan menyalurkan peruntukan keseluruhan bernilai RM6.7 bilion, bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.

“KPT mendapat peruntukan sebanyak RM 15.1 bilion, peningkatan sebanyak 4.25 peratus berbanding RM14.5 bilion yang kita perolehi sebelum ini.

“Melalui jumlah itu, beberapa pengumuman telah dibuat yang memfokuskan kepada bantuan tunai, penyelesaian pinjaman pendidikan, pembangunan seperti naik taraf jaringan digital dan fasiliti di IPT di seluruh negara termasuklah peruntukan bagi meningkatkan pembudayaan Inisiatif Kampus Hijau di Universiti Awam serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis Penyampaian Surat Tawaran Dermasiswa SULUNG di Kampung Parit Kangkar Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Menurut Noraini, KPT juga komited untuk melaksanakan 17 Inisiatif Bajet 2023 membabitkan kenaikan pemberian kredit e-pemula daripada RM150 kepada RM200 secara one-off ke dalam akaun e-dompet belia berusia 18 hingga 20 tahun yang melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Antara inisiatif lain ialah menumpukan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama selain kenaikan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan penyediaan komputer untuk kumpulan M40

“Turut diberi perhatian ialah peruntukan-peruntukan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi Dana Inovasi Digital (DIGID) bernilai RM30 juta dan pelaksanaan Program Usahawan Siswazah (PUSh) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memberi manfaat kepada 1,000 graduan yang menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Jelas Noraini melalui penyaluran peruntukan-peruntukan yang disediakan jelas membuktikan sektor pendidikan, khususnya pengajian tinggi, kekal sebagai pelaburan terbaik bagi membina masa depan pelajar.

Pada majlis sama, Muhammad Hariz Haikal Azhari, 21, yang merupakan antara 76 penerima surat tawaran dermasiswa Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) menyifatkan pemberian yang diterima itu mampu memberi semangat untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Malaysia Perlis (Unimep).

“Bila saya dapat tahu tawaran universiti ini saya gembira sebab saya berhajat untuk tuntut ilmu dan mendapatkan pekerjaan sebaiknya.

“Sebenarnya bila dapat tawaran biasiswa saya rasa bermotivasi kerana orang beri kepercayaan kita untuk belajar bersungguh-sungguh.

Penerima, Muhammad Hariz Haikal, 21 menunjukkan Surat Tawaran Dermasiswa SULUNG yang diterima daripada 78 mahasiswa terpilih ketika di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2022.

“Saya sedih bila saya lihat keluarga saya sendiri, saya cuma berjanji yang saya akan belajar bersungguh-sungguh dan akan jadi yang terbaiklah,” katanya.

Pada Februari lalu, KPT melancarkan inisiatif terbaharu bagi membantu pelajar daripada golongan keluarga B40 untuk ke menara gading menerusi Program Sulung.

Program Sulung memberi fokus terhadap usaha membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga menjejak kaki ke menara gading. – MalaysiaGazette