Presiden Parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil (lima kiri) ketika bergambar kenangan semasa hadir pada Sidang Muda di Connexion Conference Centre, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi bayangan untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonannya untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) menemui jalan buntu.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya konsisten untuk menyertai PRU15 tanpa perlu menunggu mana-mana blok politik susulan tempoh pembubaran Parlimen semakin suntuk.

“Kita sangat fokus untuk menyertai pilihan raya ini (PRU15) sebagai satu pasukan yang ada prinsip matlamat idealisme yang sama.

“Berkenaan percaturan politik lain semua itu isu berasingan, sebab fokus kepada ini (masuk PRU15).

“Yang penting bagi Muda, kita nak fokus kepada politik khidmat, nilai, prinsip, dan perubahan dasar yang kita cadangkan, biar rakyat tentukan nasib kita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Sidang Muda 2022 di Connexion Conference & Event Centre, di Bangsar South, di sini.

Pada 21 September lalu, Majlis Presiden PH membincangkan permohonan keanggotaan Muda serta hasrat Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bekerjasama secara rasmi pada PRU15.

Majlis Presiden juga bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Muda dan PSM.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan memaklumkan, kebaikan penyertaan Muda dan PSM ke dalam PH adalah bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRU15.

Ditanya tentang status permohonan Muda menyertai PH, Syed Saddiq bagaimanapun tiada jawapan dan menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan Majlis Presiden PH.

“Saya rasa soalan itu baik diajukan kepada pimpinan PH. Kita telah pun menghantar permohonan, ada perbincangan secara rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette