logo luar negara
Gambar hiasan

SINGAPURA – Dua lagi produk keluaran Mie Sedaap dari Indonesia ditarik balik Agensi Makanan Singapura (SFA) selepas dikesan mengandungi etilena oksida.

Agensi itu memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Arklife Distributors Pte Ltd untuk menarik balik Mie Sedaap perisa Soto dan perisa kari dari pasaran.

Sebelum ini pada 6 Oktober lalu, SFA mengarahkan Sheng Sheng F&B Industries Pte Ltd untuk menarik balik dua lagi produk Mie Sedaap perisa Korean Spicy Sup dan Korean Spicy Chicken .

“Proses menarik balik (dua produk tambahan Mie Sedaap) sedang dijalankan,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

SFA memaklumkan pihaknya sedang meneruskan ujian kawal selia produk Mie Sedaap yang lain.

“Kami juga bekerjasama dengan pengimport dan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat dan membetulkan punca sekiranya berlaku pencemaran etilena oksida.

“Jika etilena oksida dikesan melebihi paras maksimum yang ditetapkan SFA akan memulakan proses menarik balik produk yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Etilena oksida ialah racun perosak yang tidak dibenarkan penggunaannya dalam makanan.

“Ia boleh digunakan untuk pewasapan produk pertanian bagi mengelakkan pencemaran mikrob,” menurut agensi itu.

Bagaimanapun, di bawah Peraturan Makanan Singapura etilena oksida dibenarkan dalam pensterilan rempah.

Had Sisa Maksimum (MRL) etilena oksida dalam rempah tidak boleh melebihi 50mg/kg (50ppm).

Walaupun tiada risiko serta-merta terhadap pengambilan makanan yang tercemar dengan etilena oksida dengan kadar rendah, pendedahan jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

Oleh itu pendedahan kepada bahan ini harus diminimumkan, menurut SFA. – Bernama