Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Cadangan untuk menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak bermaksud hubungan Malaysia dengan badan antarabangsa itu terputus, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, hubungan sedia ada akan terus berjalan, kerana di bawah hubungan antarabangsa UNHCR masih relevan sebagai sebuah badan antarabangsa, selain kemahirannya dalam menguruskan pelarian diperlukan Malaysia.

“Apa yang sedang berlaku ialah cadangan supaya satu transisi diadakan bagi kerajaan Malaysia mempunyai kad sendiri untuk digunakan bagi tujuan pelarian dan pencari suaka yang datang ke Malaysia.

“Kalau ini boleh berlaku maka pejabat UNHCR akan ditutup, namun ini memerlukan masa… kita perlu ada latihan (mengenainya), dan saya difahamkan UNHCR bersetuju untuk melaksanakan latihan bersama dengan pegawai KDN (Kementerian Dalam Negeri), supaya pegawai kita ada kecekapan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai kajian terhadap cadangan menutup pejabat UNHCR di Malaysia oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Saifuddin berkata, Malaysia pula perlu memberi jaminan kepada komuniti antarabangsa bahawa ia mampu untuk menguruskan kehadiran pelarian dan pencari suaka dengan lebih baik, kemas dan sistematik daripada yang dilakukan UNHCR.

Beliau berkata, penutupan pejabat UNHCR juga tidak mengubah pendirian Malaysia dari segi kemanusiaan terhadap golongan berkenaan, yang boleh dilihat daripada sikap negara terhadap pelarian walaupun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian.

“Walaupun kita tidak meraktifikasi konvensyen itu, tetapi kita sangat berperikemanusiaan dan memberi bantuan sebaiknya bermula daripada (pelarian) Vietnam pada tahun 70-an sampai ke hari ini, yang ramai datang dari Myanmar, selain dari negara lain seperti Palestin dan Syria,” katanya. – Bernama