Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) sempena Hari Sukan Negara 2022 di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 08 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Visi Sukan Negara (VSN) 2030 akan memberi nafas baharu buat arena sukan negara dengan konsep ‘Daripada Komuniti Kepada Komuniti’, melibatkan seluruh Keluarga Malaysia.

VCN 2030 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini serentak dengan pelancaran Hari Sukan Negara 2022, di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, VSN 2030 merupakan merupakan hala tuju dan perancangan baharu pembangunan sukan negara yang dipetakan secara komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun.

“Ia juga meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat serta melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia dan akan menjadi dokumen rasmi Kerajaan dalam pembangunan sukan tanah air.

“VSN2030 juga merupakan sebuah dokumen dasar yang berkonsepkan pendemokrasian sukan dengan keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak.

“Dokumen ini akan sentiasa diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dalam memacu industri sukan Malaysia untuk terus gemilang sehingga tahun 2030,” kata Ismail Sabri.

Pelan VSN dihasilkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui oleh Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri meminta KBS berusaha meningkatkan lagi pembudayaan dan pencapaian sukan melalui usaha-usaha proaktif.

Kementerian katanya, perlu menawarkan pemberian biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet-atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat bermula daripada peringkat temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Bekas-bekas atlet yang berkemahiran juga perlu dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan akan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID).

KBS juga perlu menyemak dan mewartakan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 yang mana jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan sukan elektronik juga akan turut disenaraikan.

KBS juga perlu menaik taraf fasiliti-fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan. – MalaysiaGazette