KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat diingatkan supaya memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku tidak lama lagi.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua agensi yang berkaitan juga diminta membuat persiapan rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan ummah terhadap perkara itu.
“Saban tahun pada bulan November, Malaysia akan berhadapan dengan risiko berlakunya banjir. Jabatan Meteorologi Malaysia telah meramalkan negara akan berhadapan dengan hujan lebat berterusan dan risiko banjir berskala besar mulai pertengahan November,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah bersamaan 2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.
Baginda bertitah, persediaan tersebut bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir tetapi merangka satu kaedah bagi bantuan kepada mangsa banjir dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif.
Pada sambutan kali ini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diangkat sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1444 Hijrah/2022 Masehi.
Turut menerima anugerah Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Baharudin; Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam), Media Prima, Ahmad Noor Sulaiman; Pengerusi Yayasan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim dan Penyanyi, Syazrina Azman (Mizz Nina).
Turut menerima anugerah tokoh Maulidur Rasul, pesara guru, Chee Hoi Lan dan Pengarah Urusan Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh. – MalaysiaGazette