KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam dengan meyifatkan Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin ulung yang menjadi tokoh kepimpinan dan inspirasi dalam kehidupan.
Beliau turut mengajak umat Islam bersama-sama berselawat ke atas baginda dan mengamalkan sifat terpuji baginda dalam kehidupan seharian demi keredhaan Allah SWT.
“Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin terulung yang tiada tandingannya yang menjadi pemimpin dan inspirasi dalam kehidupan kita.
“Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW, buat semua umat Islam walau dimana sahaja berada.
“Sama-sama kita berselawat ke atas Baginda dan mengamalkan sifat terpuji Baginda dalam kehidupan seharian kita demi keredaan Allah SWT.
“Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Perdana Menteri dijadual menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia pagi ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga dijadual berangkat ke sambutan berkenaan. – MalaysiaGazette